Media

AirAsia perkenal laluan pertama ke India dari JB22 Aug 2017, by BH Online

AirAsia2.jpg

SEPANG: AirAsia, syarikat penerbangan tambah rendah memperkenalkan laluan pertama ke Kolkata, India dari hab Johor Baharu.

Laluan baharu terus dari Johor Bahru ke Kolkata itu bakal beroperasi pada 28 November ini dengan penerbangan terus lima kali seminggu.

Laluan unik dari hab selatan syarikat penerbangan itu adalah laluan ke-15 dari Johor Bahru dan laluan antarabangsa keenam dari hab berkenaan.

Ketua Komersial AirAsia Bhd, Spencer Lee, berkata sejak 2010, AirAsia sudah menerbangkan seramai 11 juta penumpang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kini pihaknya memperkenalkan laluan pertama ke Kolkata, India.

"Lapangan Terbang Antarabangsa Senai adalah rakan strategik AirAsia yang mapan dan kami berbesar hati untuk menambah lebih banyak laluan antarabangsa dari hab Johor Bahru.

"Ia sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk menyediakan sambungan lebih baik kepada pelanggan dan mengembangkan lagi hab di selatan," katanya dalam satu kenyataan.

Selain laluan baharu antarabangsa itu, AirAsia juga sudah menambah dua laluan domestik pada tahun ini iaitu Johor Bahru-Kuala Terengganu dan Johor Bahru-Langkawi.

"Kami percaya Johor Bahru mempunyai pelbagai tarikan daripada segi peluang perniagaan, pelajaran, riadah, sukan dan pelancongan perubatan.

"Kami juga teruja untuk menjadi satu-satunya syarikat penerbangan di dalam negara yang menawarkan penerbangan terus laluan ini dan berharap pengumuman laluan ini akan memberi banyak faedah kepada kedua-dua bandar berkenaan dalam pelbagai aspek, selain memperkukuhkan jalinan antara Malaysia dan India," katanya.

INFO:

- AirAsia menawarkan promosi tambang termasuk semua bermula daripada RM99* sehala.

- Tempahan boleh dibuat di airasia.com bermula hari ini hingga 3 September 2017 bagi tempoh perjalanan dari 28 November 2017 hingga 28 Ogos 2018.