Media

Sewa tanah: HLM kembangkan fasiliti pra-tuang di Senai Airport26 Feb 2022, by UTUSAN MALAYSIA

Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (Lapangan Terbang Antarabangsa Senai), ahli Kumpulan MMC menandatangani perjanjian sewa jangka panjang dengan HL-Manufacturing Industries Sdn. Bhd. (HLM) bagi memboleh­kan syarikat itu mengembangkan fasiliti pra-tuangnya. Perjanjian sewa tanah berkeluasan lima ekar itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran HLM dalam sebulan, serta pembuatan konkrit komponen bangunan pra-tuang termasuk unit perumahan, bilik air, façade, tangki, tangki air, saluran, parapet, pelongsor dan teras, bagi memenuhi permintaan projek pembangunan di Singapura.

HLM merupakan cawangan bagi HL Building Materials Pte Ltd di Singapura, anak syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Hong Leong Asia Ltd.

Menurut Pengarah HLM, Woo Min Fong, lokasi strategik dan mempunyai akses mudah ke lebuhraya merupakan faktor utama Senai Airport dipilih untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka.

“Pembinaan fasiliti baharu ini dijangka siap pada pertengahan tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kennedy Ayu memberitahu pihaknya berbangga kerana dipilih oleh HLM sebagai tapak bagi mengembangkan fasiliti pembuatan konkrit pra-tuang mereka.

Lapangan Terbang Antarabangsa Senai merupakan pintu masuk udara yang utama bagi wilayah selatan Malaysia, dengan 135 ekar tanah di sekelilingnya yang sedia ada untuk pembangunan komersil dan industri.

Plot-plot tanah ini termasuklah di Senai Airport Free Industrial Zone dan Senai Airport Aviation Park, amat sesuai untuk perniagaan dan pemain industri penerbangan bertapak bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi dari pasaran Asia Pasifik.

Sehingga kini, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai telah melabur lebih daripada RM600 juta untuk membangunkan kemudahan lapangan terbang dan plot tanah dengan infrastruktur dan utiliti yang lengkap.