Pengarah Urusan MMC Corporation Bhd., Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, SATSSB yang merupakan anak syarikat MMC Group telah me­meterai kontrak dengan anak syarikat milik Petronas, Sanz­bury Stead Sdn. Bhd. bagi ­me­nguruskan perkhidmatan ope­rasi dan penyelenggaraan Lapa­ngan Terbang Kertih selama tiga tahun mulai 1 Januari 2019.

Katanya, di bawah perkongsian strategik tersebut, SATSSB akan menyediakan perkhidmatan pengurusan profesional dan menjalankan peranan sebagai pengendali lapangan terbang berkenaan sementara Sanzbury Stead mengekalkan kedudukannya sebagai pemilik aset.

“Selain itu, SATSSB akan me­laksanakan strategi dan memacu operasi lapangan terbang bagi memastikan per­khidmatan yang selamat, cekap dan tidak terganggu selaras de­ngan keperluan pengawalseliaan yang dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan agensi kerajaan berkaitan,” katanya da­lam kenyataan di sini hari ini.

Kontrak itu juga akan meliputi kawasan Pensijilan Aerodrome, Kesihatan, Keselamatan, Kawal Selia dan Alam Sekitar Lapangan Terbang serta Operasi Maklum Balas Kecemasan.

Che Khalib berkata, dengan pengalaman luas yang dimiliki SATSSB dalam menguruskan satu daripada lapangan terbang yang paling pesat berkembang di Malaysia, SATSSB menjanjikan kecemerlangan operasi dalam mengendalikan Lapa­ngan Terbang Kertih melalui program penyenggaraan aset yang cekap dan berkesan bagi meng­optimumkan kos operasi.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Senai adalah satu-satunya lapangan terbang komersial yang dikendalikan oleh swasta di Malaysia dengan kepakaran dalam pengurusan lapangan terbang dan operasi lebih daripada 15 tahun.

“Saya yakin dengan pengalaman dan keupayaannya, kami dapat menawarkan nilai de­ngan mengekalkan operasi secara cekap dan selamat mengikut piawaian pengawalseliaan pe­nerbangan dan keperluan pe­langgan,” katanya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Senai baru-baru ini memenangi anugerah Lapangan Terbang Serantau Asia Pasifik 2018 oleh Centre of Aviation (Capa) di bawah kategori penumpang kurang daripada 10 juta setahun, untuk pera­nan utamanya dalam menggunakan teknologi biometrik baharu dan sokongannya terhadap model Penerbangan Tambang Murah (LCC).

Lapangan terbang tersebut kini disambungkan kepada 18 destinasi, termasuk 11 domestik dan tujuh destinasi antarabangsa.

Pada awal 2018, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menjadi lapangan terbang pertama di Asia yang melaksanakan Sistem Pengalaman Pelepasan Penerbangan Fast AirAsia, teknologi biometrik canggih yang menyediakan pengalaman perjalanan layan diri yang lancar bermula daripada daftar masuk sehingga ke pintu masuk.