KUALA LUMPUR 2 Jan. - Pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB) kini mengendalikan Lapangan Terbang Kertih yang merupakan pangkalan udara utama bagi operasi minyak dan gas di Terengganu.
Pengarah Urusan MMC Corporation Bhd., Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, SATSSB yang merupakan anak syarikat MMC Group telah memeterai kontrak dengan anak syarikat milik Petronas, Sanzbury Stead Sdn. Bhd. bagi menguruskan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan Lapangan Terbang Kertih selama tiga tahun mulai 1 Januari 2019.
Katanya, di bawah perkongsian strategik tersebut, SATSSB akan menyediakan perkhidmatan pengurusan profesional dan menjalankan peranan sebagai pengendali lapangan terbang berkenaan sementara Sanzbury Stead mengekalkan kedudukannya sebagai pemilik aset.
“Selain itu, SATSSB akan melaksanakan strategi dan memacu operasi lapangan terbang bagi memastikan perkhidmatan yang selamat, cekap dan tidak terganggu selaras dengan keperluan pengawalseliaan yang dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan agensi kerajaan berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kontrak itu juga akan meliputi kawasan Pensijilan Aerodrome, Kesihatan, Keselamatan, Kawal Selia dan Alam Sekitar Lapangan Terbang serta Operasi Maklum Balas Kecemasan.
Che Khalib berkata, dengan pengalaman luas yang dimiliki SATSSB dalam menguruskan satu daripada lapangan terbang yang paling pesat berkembang di Malaysia, SATSSB menjanjikan kecemerlangan operasi dalam mengendalikan Lapangan Terbang Kertih melalui program penyenggaraan aset yang cekap dan berkesan bagi mengoptimumkan kos operasi.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Senai adalah satu-satunya lapangan terbang komersial yang dikendalikan oleh swasta di Malaysia dengan kepakaran dalam pengurusan lapangan terbang dan operasi lebih daripada 15 tahun.
“Saya yakin dengan pengalaman dan keupayaannya, kami dapat menawarkan nilai dengan mengekalkan operasi secara cekap dan selamat mengikut piawaian pengawalseliaan penerbangan dan keperluan pelanggan,” katanya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Senai baru-baru ini memenangi anugerah Lapangan Terbang Serantau Asia Pasifik 2018 oleh Centre of Aviation (Capa) di bawah kategori penumpang kurang daripada 10 juta setahun, untuk peranan utamanya dalam menggunakan teknologi biometrik baharu dan sokongannya terhadap model Penerbangan Tambang Murah (LCC).
Lapangan terbang tersebut kini disambungkan kepada 18 destinasi, termasuk 11 domestik dan tujuh destinasi antarabangsa.
Pada awal 2018, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menjadi lapangan terbang pertama di Asia yang melaksanakan Sistem Pengalaman Pelepasan Penerbangan Fast AirAsia, teknologi biometrik canggih yang menyediakan pengalaman perjalanan layan diri yang lancar bermula daripada daftar masuk sehingga ke pintu masuk.