Pelajar didedah ilmu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.04 Oct 2019, by Bernama
JOHOR BAHRU, 4 Okt -- Seramai 110 pelajar dari 16 sekolah sekitar negeri ini diberi pendedahan ilmu penerbangan dalam program Senai Airport Aerocamp 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, baru-baru ini.
Program selama dua hari itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa dan pendedahan pelbagai profesion melibatkan operasi lapangan terbang, perkhidmatan pengendalian darat, keselamatan penerbangan, pembangunan perniagaan serta penyelenggaraan dan kejuruteraan.
Menerusi satu kenyataan Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd, peserta berumur antara 12 dan 17 tahun itu didedahkan dengan sesi perkongsian kerjaya oleh LTAS dan Asia Aeronautical Training Academy (AATA) sebelum mereka dibawa untuk melawat sekitar kawasan lapangan terbang untuk mempelajari fungsi dan operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Md Derick Basir berkata sektor penerbangan adalah industri yang sentiasa berkembang dengan jangkaan permintaan perjalanan udara yang lebih tinggi pada masa akan datang.
“Ini bermaksud semakin banyak peluang pekerjaan akan tercipta untuk diisi oleh anak-anak tempatan.
“Justeru, kami ingin menerapkan minat dan mempersiapkan generasi muda kita dengan pengetahuan supaya mereka boleh merangka perjalanan kerjaya mereka dari awal lagi,” katanya.