Media

Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai tidak terjejas akibat jerebu19 Sep 2019, by Bernama.com

JOHOR BAHRU, 19 Sept (Bernama) -- Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) setakat ini berjalan lancar dan tidak terjejas akibat jerebu.

Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB) Md Derick Basir berkata pergerakan pesawat ke semua destinasi adalah seperti biasa kecuali penerbangan ke Ipoh yang dibatalkan pada hari ini dan semalam kerana jarak penglihatan yang rendah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

"LTAS juga semalam menerima sebanyak dua buah pesawat yang membuat lencongan akibat jerebu.

"Sehingga 10 pagi tadi, Jarak Visual Landasan yang direkodkan di LTAS ialah 1,500 meter, berbanding jarak penglihatan minimum iaitu di bawah 550 meter di mana berkemungkinan penerbangan boleh terjejas untuk mendarat dan berlepas, bergantung kepada nasihat daripada Menara Kawalan Udara," kata Md Derick, dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Menurut beliau, pihak pengurusan LTAS akan memastikan kesediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan kelancaran operasi di musim jerebu ini dan akan memaklumkan status terkini mengenai situasi operasi di LTAS.

LTAS mengendalikan purata sebanyak 12,500 penumpang dan 109 penerbangan dalam masa sehari ke 11 destinasi domestik dan tujuh destinasi antarabangsa.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke lapangan terbang itu petang ini mendapati operasi di situ berjalan seperti biasa dengan jadual perjalanan ke destinasi-destinasi mengikut masa yang ditetapkan.

Sungguhpun ada beberapa kawasan di Johor mempunyai bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikategorikan sebagai tidak sihat, masih ada penumpang di lapangan terbang berkenaan didapati tidak memakai topeng muka.