Media

Lapangan Terbang Senai kendali 3.52 juta penumpang tahun lalu28 Jan 2019, by BH ONLINE

KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Senai mengendalikan 3.52 juta penumpang tahun lalu, peningkatan 13 peratus daripada jumlah penumpang 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Md Derick Basir, berkata pertumbuhan itu dipacu terutamanya oleh penumpang domestik dengan peningkatan sebanyak 234,650 penumpang manakala trafik penumpang antarabangsa meningkat sebanyak 37 peratus kepada 600,000 pada 2018.

"Pertumbuhan ini dijana aktiviti ekonomi mantap di kawasan selatan, peningkatan permintaan bagi perjalanan perniagaan dan korporat, selain sektor riadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pergerakan pesawat komersil berkembang lapan peratus dengan 32,574 ketibaan dan pelepasan berbanding 2017.

"Peningkatan jumlah trafik penumpang pada 2018 disumbang terutamanya oleh pengenalan laluan baharu termasuk Seoul oleh Jin Air, Sanya dan Haikou oleh Malindo Air, serta Alor Setar dan Ipoh oleh AirAsia.

"Sebagai tambahan, peningkatan frekuensi penerbangan kepada sektor sedia ada seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Langkawi dan Bangkok turut menyumbang kepada pertumbuhan," katanya.

Md Derick berkata, SATSSB juga bekerjasama dengan peserta industri termasuk badan pelancongan dan syarikat penerbangan untuk mempromosikan Johor sebagai destinasi, sekali gus menggalakkan permintaan terhadap penyambungan udara.

"Bagi 2019, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai mensasar mengendali 3.76 juta penumpang," katanya. - BERNAMA