Media

LTAS sasar 3.76 juta penumpang 201904 Feb 2019, by Utusan Malaysia

LTAS-sasar-3-76-juta-penumpang-2019-(2).jpg

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) mengendalikan lebih 3.52 juta penumpang sepanjang tahun 2018 di Senai, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 3 Feb. - Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini mencatatkan satu lagi rekod baharu apabila mengendalikan 3.52 juta penumpang tahun lalu, peningkatan sebanyak 13 peratus daripada bilangan penumpang pada 2017.

Perkembangan itu disumbangkan penumpang domestik dengan peningkatan sebanyak sembilan peratus atau 234,650 penumpang daripada 2.68 juta pada 2017 kepada 2.91 juta pada 2018.

Trafik penumpang antarabangsa pula meningkat 37 pe­ratus atau 163,127 daripada 0.44 juta pada 2017 kepada 0.60 juta pada 2018.

Pergerakan penerbangan komersial mencatatkan lapan peratus lebih tinggi dengan jumlah sebanyak 32,574 pendaratan dan perlepasan.

Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB), Md. De­rick Basir berkata, 2018 adalah tahun paling sibuk bagi LTAS setakat ini dan pihaknya menjangkakan pertumbuhan lebih lanjut pada 2019.

“Pertumbuhan jumlah penumpang didorong kegiatan aktiviti ekonomi yang aktif di rantau selatan tanah air, meningkatkan permintaan perniagaan dan perjalanan korporat turut serta daripada sektor pelancongan.

“Secara khususnya, pe­ningkatan jumlah lalu lintas penumpang pada 2018 disumbang pengenalan laluan baharu termasuk Seoul oleh Jin Air, Sanya dan Haikou (Malindo Air), Alor Setar dan Ipoh (AirAsia) selain peningkatan frekuensi penerbangan sektor sedia ada seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Langkawi dan Bangkok,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya be­kerjasama secara agresif de­ngan pemain industri termasuk pengusaha pelancongan dan syarikat penerbangan untuk mempromosikan Johor sebagai destinasi bagi menggalakkan lebih banyak penerbangan.

“Bagi 2019, LTAS menetapkan sasaran untuk mengendalikan 3.76 juta penumpang. Ini bakal menjadi tahun yang sibuk dan memberangsangkan yang mana kami juga memperkembangkan portfolio untuk me­nguruskan operasi Lapangan Terbang Kertih di Terengganu,” katanya.

Pada ketika ini, katanya, LTAS bukan hanya sebuah ‘lapangan terbang’ tetapi menjadi tempat warga kerja serta komuniti sekitar mengadakan janji temu dan perbincangan perniagaan.