Airasia X lantik pengerusi baharu, sedia tempuh cabaran global17 Apr 2026, by Buletin TV3
Oleh: Nurshafika Suhaimi
KUALA LUMPUR: AirAsia X secara rasmi melantik Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas baharu syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu, dalam usaha memperkukuh daya tahan menghadapi ketidaktentuan pasaran global.
Pelantikan beliau dilihat sebagai langkah strategik bagi membawa perspektif jangka panjang serta memperkukuh aspek tadbir urus korporat, ketika AirAsia X memasuki fasa pertumbuhan semula selepas penyatuan operasi penerbangan di bawah satu entiti.
Meskipun berdepan cabaran makroekonomi, syarikat itu kekal yakin dengan model perniagaan jarak jauh kos rendah yang terbukti kukuh, disokong permintaan perjalanan yang terus meningkat di rantau ASEAN.
Bahrain sebagai hab strategik 2026
Meskipun persekitaran operasi semakin kompleks, AirAsia X mengukuhkan komitmen untuk membangunkan Bahrain sebagai hab strategik utama yang menghubungkan penumpang dari negara Asia, Asia Barat dan Eropah.
Penerbangan ke Bahrain dijangka bermula pada 26 Jun depan dengan harapan situasi di rantau itu akan kembali stabil.
Sebagai langkah proaktif, AirAsia X telah mengalihkan kapasiti pesawat ke laluan yang mencatatkan prestasi lebih kukuh dan pulangan tinggi seperti Almaty (Kazakhstan), Tashkent (Uzbekistan) dan Istanbul (Turkiye).
Pada masa sama, syarikat turut meneroka usaha memperkukuh peranan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sebagai hab domestik penting.
Menurut Jamaludin, beliau teruja menyertai AirAsia X, terutamanya selepas tujuh syarikat penerbangan di bawah kumpulan itu, digabungkan menjadi satu entiti yang lebih besar.
“Walaupun dunia sedang berdepan ketidaktentuan, kita bermula dari kedudukan yang stabil. Asas syarikat ini cukup kuat, didorong oleh struktur kos rendah dan rangkaian Fly-Thru yang membolehkan kita bertindak pantas terhadap sebarang perubahan pasaran,” katanya.
Kerjasama dalam ekosistem
Penasihat AirAsia X, Tony Fernandes, menyifatkan kepimpinan Jamaludin penting dalam memacu lembaran baharu syarikat.
Beliau percaya gabungan kepakaran Jamaludin dan pasukan pengurusan sedia ada, akan memberi nilai yang lebih baik kepada penumpang dan pelabur.
Malah, kekuatan ekosistem Capital A, turut membantu syarikat kekal bertahan.
Usaha AirAsia MOVE dalam meningkatkan jualan serta keupayaan teknikal daripada syarikat seperti ADE dan AirAsia Next, membantu mengurangkan kos operasi secara keseluruhan.
Atasi cabaran kos
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam menjelaskan, antara cabaran terbesar ketika ini adalah harga bahan api jet global, yang telah melonjak lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu.
Bagi menangani isu itu, syarikat telah melaksanakan penyelarasan tambang termasuk surcaj bahan api secara ‘one-off’, merangkumi seluruh rangkaian penerbangan.
“Kami juga sedang berbincang dengan rakan kongsi untuk mengawal kos operasi dan apabila semua pesawat mula beroperasi sepenuhnya nanti, kos seunit akan menjadi lebih rendah.
“Selain itu, pengukuhan mata wang ASEAN juga sedikit sebanyak membantu kami berdepan dengan perbelanjaan dalam mata wang USD,” jelasnya.
Sebagai persediaan untuk masa depan, AirAsia X juga sedang meneliti peluang untuk menambah tempahan pesawat, bagi menyokong pelan pengembangan destinasi akan datang.