Media

AirAsia perkenal FACES bagi lancarkan perjalanan06 Feb 2018, by Utusan Online

image.jpg
KAKITANGAN AirAsia membantu seorang penumpang sebelum melalui balai berlepas mengimbas menggunakan sistem FACES yang baharu diperkenalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

KULAI 6 Feb. - Airasia Berhad menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia yang menawarkan pengalaman perjalanan lebih lancar dengan memperkenalkan sistem pengecaman wajah dan pintu perlepasan sendiri, 'Fast Airport Clearance Experience System' (FACES) di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Sistem FACES milik AirAsia dan dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat penerbangan tambang murah itu menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenal pasti tetamu yang telah berdaftar di pintu perlepasan sendiri bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporat) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar berkata, syarikat membelanjakan kira-kira RM300,000 bagi membangunkan sistem tersebut dan sudah melalui tempoh percubaan sejak awal bulan lalu.

“Kita sudah menggunakan sistem ini sejak bulan lalu bagi laluan domestik terlebih dahulu dan hingga kini lebih 3,000 orang menggunakan sistem berkenaan,” katanya selepas majlis pelancaran FACES di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini sebentar tadi.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Aireen berkata, pihaknya kini sedang menggunakan sistem itu bagi laluan antarabangsa melibatkan laluan Johor Bahru-Macau dan Johor Bahru-Bangkok. - UTUSAN ONLINE