Media

AirAsia lancar penerbangan pertama dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu22 Jun 2017, by KOSMO

bt_13-1-(1).jpg
AirAsia melancarkan penerbangan pertama syarikat tersebut dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU - Syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, AirAsia melancarkan penerbangan pertama syarikat tersebut dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu hari ini.

Laluan baharu yang bakal beroperasi dengan kekerapan tiga kali seminggu itu merupakan laluan domestik ke-9 dari Johor Bahru dan ke-2 ke Kuala Terengganu selain dari Kuala Lumpur.

Penerbangan sulung melalui pesawat AK6162 itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada pukul 1.45 petang tadi.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Mohd. Shukri Mohd. Masbah dan Ketua Pegawai Esksekutif Terminal Lapangan Terbang Senai Sdn. Bhd., Md. Derick Basir turut sama menyaksikan pelepasan penerbangan pertama itu.

Sementara sambutan ketibaan penerbangan pertama itu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu telah dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Yang Dipertua Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar serta rakan-rakan media telah turut menyertai penerbangan pertama berkenaan.

“Kami gembira dapat menghubungkan lebih banyak laluan unik seperti Johor Bahru ke Kuala Terengganu. Kami juga akan terus komited dalam memperkenalkan lebih banyak laluan dan menyediakan perhubungan yang lebih baik kepada para penumpang.

"Pada tahun 2016, AirAsia telah menerbangkan lebih 420,000 penumpang dari dan ke Terengganu. Kami yakin dapat meningkatkan jumlah tersebut selari dengan misi kerajaan negeri Terengganu untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong bagi tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Berhad, Aireen Omar.

“Kami juga berharap dapat terus mengembangkan hab selatan di Johor Bahru dan menghubungkan ke lebih banyak destinasi pada masa depan.

"Selain Kuala Terengganu, AirAsia juga mempunyai penerbangan ke lapan laluan domestik lain dari Johor Bahru seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Miri, Tawau, Sibu, dan Kota Kinabalu serta lima laluan antarabangsa iaitu Bangkok, Guangzhou, Bandar Ho Chi Minh, Jakarta dan Surabaya," tambah Aireen.

Dalam pada itu, bagi meraikan penerbangan pertama berkenaan, AirAsia tampil menawarkan tambang termasuk semua bermula dari RM79* sehala dalam laman web, www.airasia.com dari 22 Jun ini hingga 25 Jun depan untuk tempoh perjalanan dari 22 Jun ini hingga 23 November depan.

Tambang promosi itu juga boleh didapati dengan tempahan menerusi aplikasi mudah alih AirAsia bagi peranti iPhone dan Android serta di laman mudah alih mobile.airasia.com. - K! ONLINE