Media

AirAsia Lancar Beberapa Laluan Antarabangsa Baharu Dari Johor Tahun Ini22 Jun 2017, by BERNAMA

JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama) -- AirAsia Berhad bakal memperkenalkan beberapa lagi laluan baharu penerbangan antarabangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini ke beberapa negara di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Aireen Omar berkata usaha itu yang dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun ini, melibatkan laluan seperti Senai ke India.

Ia sebagai tambahan kepada laluan antarabangsa sedia ada iaitu Senai-Bangkok (Thailand), Guangzhou (China), Ho Chi Minh (Vietnam), Jakarta dan Surabaya (Indonesia).

"Niat kita (AirAsia) adalah untuk menjadikan Senai sebagai satu daripada hab antarabangsa utama bagi rantau ini. Pada masa sama, ia juga perancangan untuk jangka masa panjang kerana percaya kita boleh pergi jauh lagi, selain terdapat banyak potensi di sini," katanya.

Aireen ditemui pemberita selepas menyaksikan pelancaran penerbangan pertama AirAsia dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Penerbangan itu yang beroperasi tiga kali seminggu merupakan laluan domestik kesembilan untuk AirAsia dari lapangan terbang di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Johor Mohd Shukri Mohd Masbah, Ketua Pegawai Eksekutif Terminal Lapangan Terbang Senai Sdn Bhd Md Derick Basir, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Tun Ahmad Faisal Abdul Razak.

Menurut Aireen, pihaknya komited untuk merealisasikan laluan itu kerana Johor adalah hab yang penting kepada syarikatnya setelah menyumbang pendapatan yang memberangsangkan dalam beberapa tahun ini kepada hasil keseluruhan kumpulan.

"Kita merasakan ia juga mempunyai permintaan tinggi terhadap penerbangan antarabangsa baharu, yang saya kira kita boleh lakukan, sekali gus menggalakkan orang turut datang ke Johor," katanya.