JOHOR BAHRU 23 Mei - Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATS) melabur RM2 bilion untuk membangunkan lagi kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai dekat sini dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Sidik Shaik Othman berkata, fasa pembangunan itu meliputi kawasan tanah syarikat seluas 1,087 hektar terletak bersebelahan dengan lapangan terbang berkenaan.
Beliau berkata, ia melibatkan Bandar Lapangan Terbang Senai yang merupakan projek pembangunan pertama di dunia menghubungkan terus lapangan terbang utama dengan jalan raya, laut dan landasan kereta api.
"Satu lagi mercu tanda baru yang bakal muncul dalam bandar itu adalah Taman Teknologi Tinggi Senai dan kawasan perindustrian zon bebas yang memfokuskan kepada nilai tambah dalam industri pengeluaran dan perkhidmatan.
"Apa yang membanggakan hingga kini kita menerima sambutan hebat daripada kalangan pelabur," katanya.
Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian Bangunan Aero Mall dan pelancaran Bandar Lapangan Terbang Senai di Lapangan Terbang Sultan Ismail di Senai, dekat sini, Sabtu lalu.
SATS mendapat hak mengendali dan menguruskan Lapangan Terbang Sultan Ismail di Senai daripada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) pada 1 November 2003.
Sejak itu, anak syarikat MMC Corporation Bhd. (MMC) telah melabur sebanyak RM350 juta untuk menaik taraf kemudahan di lapangan terbang berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd. Sidik berkata, Taman Teknologi Tinggi Senai dijangka memulakan sebahagian daripada operasinya pada Mac tahun depan.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat dua penyewa bersetuju melabur di taman teknologi tinggi kedua negara ini dengan pelaburan berjumlah RM2.3 bilion.
"Zon perindustrian bebas dan kawasan logistik yang merangkumi keluasan 375 hektar dirangka bagi tujuan pusat pembuatan barangan bermutu tinggi serta industri berteknologi dalam sektor penerbangan dan pengangkutan.
"Perancangan pembangunan bercampur di Bandar Lapangan Terbang Senai akan meliputi perumahan, perniagaan dan sektor hospitaliti di kawasan seluas 264 hektar.
"Dalam sektor hospitaliti, ia akan melibatkan projek pembangunan dua blok hotel, pusat konvensyen, pejabat dan kilang pengeluaran yang bermula tahun ini," katanya.
Pada majlis itu, dua memorandum persefahaman (MoU) antara Senai Hi-Tech Sdn. Bhd. (SHTP) dengan STX Corporation (STX) dari Korea dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ditandatangani.
MoU STX itu melibatkan jumlah pelaburan RM1.5 bilion di Malaysia dalam sektor kuasa solar meliputi kemudahan pengeluaran modul sel solar dan taman solar bagi menjana 100 megawat (MW) arus elektrik dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.
UTM pula akan membangunkan Taman Teknologi Tinggi Senai dalam pelbagai bidang antaranya menyediakan latihan dan sumber modal insan secara berterusan bagi memenuhi keperluan di taman itu.
Source: Utusan