Kerajaan bertindak sebagai ‘enabler’, sedia pelbagai insentif
SENAI: Kerajaan mahu melihat sektor swasta mengambil alih peranan yang dimainkan sektor awam sebagai pemacu utama ekonomi negara selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE), kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, peranan sektor swasta akan menjadi lebih penting dalam MBE, malah ia boleh diibaratkan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
“Kerajaan hanya akan bertindak sebagai ‘enabler’, menerusi pelaksanaan pelbagai galakan serta insentif bagi membolehkan sektor swasta menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara,” katanya semalam ketika merasmikan bangunan Aero Mall dan Bandar Lapangan Terbang Senai di sini.
Najib berkata, sejak berlaku krisis kewangan Asia pada 1997, peranan sektor swasta dalam mendorong ekonomi semakin susut dan ia diambil alih kerajaan.
Beliau berkata, pembangunan bersepadu di Lapangan Terbang Senai membabitkan sektor swasta dalam industri aeroangkasa, logistik dan kargo serta Taman Teknologi Tinggi Senai (SHTP) adalah selaras dengan kehendak kerajaan dalam MBE.
Kerajaan, katanya, sebagai ‘enabler’ menerusi pemberian galakan dan insentif, sudah memberi geran sebanyak RM150 juta untuk membangunkan industri kargo di Lapangan Terbang Senai serta geran RM300 juta untuk pembangunan SHTP.
“Menerusi pelbagai galakan dan insentif oleh kerajaan, Lapangan Terbang Senai dijangka menerima lebih banyak pelaburan daripada dalam dan luar negara dalam tempoh terdekat,” katanya.
Najib berkata, kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini dengan menjadi ‘enabler’ terhadap kemasukan lebih banyak pelaburan ke negara ini adalah cara yang tepat.
Namun, katanya, banyak pihak salah anggap terhadap kaedah PFI dengan ramai yang menganggapnya suatu bentuk ‘bayaran tertangguh’, yang pihak swasta membina kemudahan infrastruktur terlebih dulu dan kerajaan membayarnya kemudian.
Jika kaedah PFI yang salah itu dilaksanakan, katanya, kerajaan akan terdedah kepada bahaya seperti yang dihadapi Greece dan beberapa negara Eropah lain dalam krisis hutangnya.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar MBE oleh kerajaan sudah menampakkan hasil awal dengan pertumbuhan ekonomi negara pada suku pertama tahun ini melonjak kepada 10.1 peratus.
“Ia juga berjaya meningkatkan daya saing negara daripada kedudukan ke-18 kepada kedudukan ke-10, seperti dinyatakan IMD World Competitiveness Yearbook 2010,” kata Perdana Menteri.
Najib berkata, daya saing negara kini lebih baik berbanding negara lain seperti United Kingdom.
Mengenai Lapangan Terbang Senai, Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan pengendali lapangan terbang itu, Senai Airport Terminal Service Sdn Bhd (SATS) sehingga kini sudah membelanjakan RM350 juta untuk membangunkannya.
Terdahulu ketika berucap, Ketua Pegawai Eksekutif SATS, Datuk Mohd Sidik Shaik Othman, berkata syarikat itu akan melabur tambahan RM2 bilion untuk infrastruktur dan kemudahan awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Beliau berkata, kemudahan tambahan itu akan mempercepatkan kadar pertumbuhan dan melonjakkan Lapangan Terbang Senai ke suatu tahap lebih tinggi
Source: Berita Harian