Media

Naik taraf LTAS siap Ogos07 Jul 2017, by Utusan Online

image.jpg
TEE SIEW KIONG bersama Md. Derick Basir (tiga dari kiri) dan Mohd. Shukri Mohd. Masbah (dua dari kanan) ketika melawat kerja-kerja menaiktaraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, semalam. UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN

JOHOR BAHRU 6 Julai - Kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) yang dijangka siap pada Ogos ini diyakini mampu menarik lebih ramai pelanggan akan menggunakan perkhidmatan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, lapa­ngan terbang tersebut mula dinaik taraf pada Oktober tahun lalu dengan kos RM7 juta.


Menurutnya, fokus utama ker­ja menaik taraf yang kini sudah 80 peratus siap adalah untuk meningkatkan aspek ke­selamatan selain memberi ke­selesaan kepada pengguna lapangan terbang itu yang semakin mening­kat.

“Selepas kerja menaik taraf ini siap kelak, saya mempunyai keyakinan yang besar kepada landskap industri pelancongan di Johor yang kini semakin berada pada platform positif, sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya selepas melawat LTAS, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Esksekutif Terminal Lapangan Terbang Senai Sdn. Bhd., Md. Derick Basir dan Pengarah Tourism Johor, Mohd. Shukri Mohd. Masbah.

Siew Kiong berkata, dengan kerja naik taraf berkenaan, jumlah kamera litar tertutup (CCTV) akan ditambah sebanyak 74 buah selain skrin paparan maklumat penerbangan juga ditambah 44 skrin.

Menurutnya, sistem penga­singan penumpang penerbangan domestik dan antarabangsa juga akan dilakukan bagi meme­nuhi piawaian keselamatan sedia ada berikutan peningkat jumlah pengguna.

“LTAS pada masa ini menerima 610 penerbangan dari 11 destinasi domestik dan lima antarabangsa dalam tempoh seminggu dan kita menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat dengan perancangan untuk menambah penerbangan antarabangsa tidak lama lagi,” katanya.

Justeru, beliau mengalu­­ ­a­lukan pemain industri terutamanya agensi pelancongan untuk bersiap sedia mengambil peluang tersebut sekali gus mentransformasikan perniagaan mereka bagi menarik lebih ramai pelancong ke Johor.