Media

AirAsia: Penerbangan Johor Bahru-Kolkata bermula 28 November depan22 Aug 2017, by Kosmo

SenaiAirportMedia/AirAsia.jpg

KUALA LUMPUR - AirAsia akan memulakan operasi bagi laluan Johor Bahru-Kolkata pada 28 November depan, dengan penerbangan terus sebanyak lima kali seminggu.

Laluan itu akan mengembangkan lagi sambungan dari hab selatan syarikat penerbangan berkenaan, ia menjadi laluan ke-15 dari Johor Bahru dan destinasi antarabangsa keenam dari hab tersebut.

"Lapangan Terbang Antarabangsa Senai telah menjadi rakan kongsi yang utama kepada AirAsia, dan kami amat sukacita dapat memperkenalkan lebih banyak laluan dari hab Johor Bahru sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk menyediakan sambungan yang lebih baik kepada para pelanggan dan selanjutnya mengembangkan operasi hab selatan kami," kata Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi meraikan pengumuman laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tiket semua dalam tambang daripada RM99 (sehala) sehingga 3 September 2017 untuk tempoh perjalanan antara 28 November 2017 hingga 28 Ogos 2018.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu mengendalikan 150 penerbangan sehala secara mingguan untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.

Selain dari Kolkata, AirAsia juga membuat lima laluan antarabangsa dari Johor Bahru iaitu ke Bangkok, Guangzhou, Ho Chi Ming City, Jakarta dan Surabaya termasuk sembilan laluan domestik seperti ke Kuala Terengganu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Miri, Tawau, Sibu dan Kota Kinabalu. - Bernama