Media

Padam kebakaran 1 Minit 22 Dec 2011

SENAI: Lapan penumpang termasuk tiga kru terbunuh selepas pesawat dinaiki mereka terhempas ketika cuba melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini, semalam.
 
Bagaimanapun kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu hanyalah situasi simulasi ditimbulkan dalam latihan kecemasan serta menguji tahap persediaan semua petugas dan agensi berkaitan.
 
Kira-kira 200 kakitangan Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd, polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan bomba dan Penyelamat serta Kementerian Kesihatan mengambil bahagian dalam latihan itu.
 
Pengurus Kanan Bahagian Keselamatan Senai Airport Terminal Services, S Gunasegaran berkata, sesi latihan itu bertujuan mengurangkan kesan kecemasan terutama apabila berdepan situasi menyelamat nyawa penumpang.
 
“Senario membabitkan sebuah pesawat membawa 49 penumpang dan lapan anak kapal yang berlepas dari Kuala Lumpur jam 9.50 pagi terhempas dan terbakar hingga menyebabkan lapan maut dan 49 lain cedera.
 
“Latihan kecemasan hari ini mencapai sasaran iaitu kebakaran mampu dipadamkan dalam masa 1 minit 30 saat dan dalam tempoh sejam bagi mengawal keadaan keseluruhan.
 
“Selain itu, kami dapati penyampaian komunikasi antara agensi terbabit berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas tamat latihan berkenaan, semalam.
 
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Superintendan Zulkefly Yahya.
 
Gunasegaran berkata, tahun ini pihaknya membuat latihan kecemasan berskala penuh membabitkan 200 kakitangan termasuk 48 orang sebagai kru penerbangan dan penumpang selain dua unit jentera Ultra Large Foam Tender bagi memadam api.
 
“Ia dilakukan bagi menguji tahap ketahanan dan persediaan semua anggota agensi terbabit dalam mengendalikan operasi menyelamat mangsa jika berlaku kejadian pesawat terhempas di lapangan terbang ini,” katanya.
 
Gunasegaran berkata, sesi latihan itu pernah diadakan sebelum ini dan pada tahun depan, pihaknya akan melakukan latihan kecemasan pada waktu malam pula bergantung pada keadaan semasa.
 
“Ketika ini, LTASI mengendalikan lebih 20 penerbangan setiap hari dengan waktu puncak awal pagi,” katanya.